Kementerian Kewangan dan Commerce Dot Com Sertai Acara OIC

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan dan Commerce Dot Com bersama hampir 500 pempamer domestik dan antarabangsa yang lain telah menyertai 4th OIC (Organisation of Islamic Countries) World Biz 2013 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. Acara empat hari itu bermula pada 25 September telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Penyertaan Kementerian Kewangan dan Commerce Dot Com tersebut memberikan lebih makna kepada pada acara berkenaan. Bukan sahaja pengunjung boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai fungsi jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan, malah para peserta lain yang terdiri daripada pelbagai negara anggota OIC dan rakan niaga mereka seperti Korea dan China juga dapat pendedahan tentang kehebatan sistem perolehan sektor awam eletronik baharu yang sedang dibangunkan oleh Commerce Dot Com, NextGen ePerolehan.

Bagi Commerce Dot Com, persidangan dan pameran 4th OIC World Biz 2013 yang diadakan itu adalah landasan yang penting dan sesuai untuk syarikat mengetengahkan penglibatannya didalam menjayakan projek ePerolehan disamping dapat mengumpul profil daripada delegasi yang hadir pada acara tersebut. Setelah lebih sedekad mengoperasi dan mengawal selia sistem ePerolehan, Commerce Dot Com sebagai satu-satunya syarikat yang menawarkan sistem perolehan sektor awam elektronik di negara ini bersedia untuk memperkenalkan NextGen ePerolehan ke mata dunia dan menjadikan sistem baharu itu sebagai kayu pengukur sistem perolehan lain yang akan datang.

Selain pameran, aturcara lain pada 4th OIC World Biz 2013 termasuklah tiga persidangan yang berasingan yang membincangkan potensi ekonomi, pelancongan dan pendidikan di dalam kalangan negara anggota OIC dan rakan niaga mereka. Setiap persidangan dianggarkan dihadiri oleh hampir 500 peserta.

Pameran dibuka pada orang ramai pada hari akhir acara iaitu pada hari Sabtu, 28 September 2013.